Friday, January 19, 2018

2 tahun yang senyap dan sepi.

Assalammualaikum semua, alhamdulillah syukur kehadrat illahi Allah s.w.t. diatas segala kurniaan nya. Masih lagi di beri kehidupan dan dapat lagi bersuara di alam maya ini. Selepas perlantikkan AJK baru KRT seri Kemunting pada 2016 yang lalu sehingga kini 2017 berakhir tiada apa-apa aktiviti,dan mesyuarat di jalankan.Rasa kecewa dan sedih ada juga menghantui fikiran kita.Dimana silapnya,tak perlulah menyalahkan sapa-sapa bila terjadinya perkara demikian.Saya sendiri pun mungkin ada silap nya. Apa-apa pun di kesempatan ini saya memohon ampun dan maaf atas kekhilafan dan kesilapan yang terjadi. Mengimbau kembali detik-detik gembira dan duka silam saya berada di dalam AJK membuatkan saya tersenyum dan berbangga dengan kejayaan yan dicapai sepanjang penglibatan.Pernah menjadi Juara Inovasi KRT Peringkat Negeri Pahang dan Naib Juara peringkat Kebangsaan membuatkan semangat untuk mencapainya berulang kembali,berasa amat berpuashati tidak cukup rasanya. Sekarang 2018 pun menjengah dan menyapa kita semua.Semoga kali ini perubahan dalam mencapai matlamat berkomuniti tercapai dengan penstrukturan semula AJK KRT Seri Kemunting.Inilah harapan kita.Kegemilangan yang dulu akan berlaku kembali dengan kekuatan dan semangat yang ada pada semua AJK yang terlibat.Sama-sama kita berdoa semoga ianya tercapai. Sekian terima kasih Kama Razlan bin Mohd Nor S/Usaha KRT SERI KEMUNTING.

Tuesday, March 1, 2016

Selamat Maju Jaya

Assalamualaikaum semua, Alhamdulillah syukur kehadrat Allah s.w.t kite bersua kembali setelah sekian lama menyepi tanpa kabar berita dari kami KRT Seri Kemunting,disini saya mengucapkan tahniah kepada AJK KRT Seri Kemunting sessi 2016/17 yang baru dilantik pada 28.2.2016 baru-baru ini. Pengerusi- Fauzi bin Ahmad, T/Pengerusi- Annie Khaizura bt Alias, Setiausaha - Kama Razlan bin Mohd Nor, P/Setiausaha - Kunasegaran a/l Gopal, Bendahari - Sheikh Yusof b. Sheikh Omar. Perlantikan AJK dan Ketua-ketua biro akan dilantik pada Mesyuarat kali pertama yang akan diadakan pada 5-3-2016 (sabtu).Semuga dengan perlantikan penuh AJK akan mengerakkan lagi program dan aktiviti yang lebih rancak dan menarik pada tahun ini. IsyaAllah..

Sunday, January 30, 2011

ALAT SIARAYA UNTUK DISEWA

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyewa alat siaraya (PA System),bolehlah datang berjumpa dengan AJK KRT Seri Kemunting.Kadar sewa boleh di bincangkan.

Monday, November 15, 2010

Selamat Hari Raya Aidul Adha (Qurban)

Bumi Makkah

Menurut riwayatnya, ramai para sahabat menyatakan, bahawa bumi Makkah adalah yang pertama sekali muncul dari air selepas penciptaannya dan daripadanya bumi- bumi lain terbentang dan terhampar. Keistimewaan yang terdapat di Makkah ialah Masjidil Haram.

Keistimewaan Masjidil Haram pula ialah kerana Kaabah atau Baitullah, yang menjadi kiblat bagi umat Islam.

Baitullah adalah sebuah bangunan yang hampir-hampir empat persegi. Tingginya 15 meter dan luasnya lebih kurang 120 meter persegi. Bangunan ini terletak di tengah-tengah Masjidil Haram. Di salah satu penjuru Kaabah ini terdapat Hajarul Aswad yang menjadi tempat permulaan untuk mengerjakan tawaf.

Makam Ibrahim

Makam Ibrahim bukanlah kuburan Nabi Ibrahim sebagaimana dugaan atau pendapat sebahagian orang-orang kebanyakan. Ia adalah merupakan bangunan kecil yang terletak lebih kurang 20 hasta di sebelah timur Kaabah. Di dalam bangunan kecil ini terdapat sebiji batu yang diturunkan oleh Allah dari Syurga bersama-sama dengan Hajarul Aswad. Di atas batu itu Nabi Ibrahim berdiri di waktu baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail memberikan batu kepadanya.

Batu itu dipelihara Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak. Sedangkan bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27 cm, lintangnya 14 cm dan dalamnya 10 cm masih nampak dan jelas dilihat.

Atas perintah Khalifah Al Mahdi Al Abbasi di sekeliling batu makam Ibrahim itu telah diikat dengan perak dan dibuat kandang besi berbentuk sangkar burung.

Hajarul Aswad

Menurut sejarahnya, Hajarul Aswad diturunkan oleh Allah dari langit ke atas Jabal Qubais. Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari salji, tetapi lama - kelamaan menjadi hitam sebab disentuh oleh orang - orang musyrik.

Kalau tidak kerana sentuhan tersebut nescaya cahayanya menerangi antara timur dan barat. Ini diterangkan dari hadis Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda :" Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam ) menyebabkannya menjadi hitam " . Riwayat Ahmad dan Turmizi

Telaga Zam Zam

Telaga zam - zam adalah sebagaimana telaga biasa, tetapi mempunyai riwayat yang tersendiri. Sejarahnya adalah berhubung kait dengan sejarah Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim ) yang datang ke Makkah. Mengikut asal mula riwayat telaga ini adalah seperti berikut; Nabi Ibrahim a.s. mempunyai dua orang isteri; Siti Sarah dan Siti Hajar (ibu Nabi Ismail).

Pada satu ketika terjadi pertelingkahan antara kedua isteri tersebut sehingga Siti Sarah bersumpah tidak akan tinggal bersama-sama ibu Ismail dalam satu negeri. Kemudian turunlah wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya baginda bersama-sama anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi ke Makkah. Di waktu itu Makkah belum didiami manusia, hanya merupakan lembah pasir dan bukit-bukit yang tandus dan tidak ada air.

Apabila mereka tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah sepohon pokok yang kering. Di tempat inilah bangunan Kaabah yang ada sekarang. Tidak berapa lama, kemudian Nabi Ibrahim meninggalkan mereka dengan dibekalkan sekantong kurma dan sekibah air.

Siti Hajar memerhatikan sikap suaminya yang menghairankan itu lalu bertanya ;

"Hendak kemanakah engkau Ibrahim ?"

"Sampai hatikah engkau meninggalkan kami berdua ditempat yang sunyi dan tandus ini ? ".

Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab sepatah kata jua pun.

Siti Hajar bertanya lagi;

"Adakah ini memang perintah dari Allah ?"

Barulah Nabi Ibrahim menjawab, "ya".

Mendengar jawapan suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan hatinya tenteram. Ia percaya hidupnya tentu terjamin walaupun di tempat yang sunyi, tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan. Sedangkan waktu itu, Nabi Ismail masih menyusu.

Selang beberapa hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim habis. Siti Hajar berusaha mencari air di sekeliling sampai mendaki Bukit sofa dan Marwah berulang kali sehingga kali ketujuh (kali terakhir ) ketika sampai di Marwah, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya, bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan derasnya. Air itu adalah air zam-zam.

Di sini Siti Hajar bertemu dengan Malaikat Jibril dan Jibril mengatakan kepadanya, " Jangan khuatir, di sini Baitullah ( rumah Allah ) dan anak ini (Ismail ) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti. Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya".

Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:, " Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit ". Riwayat - At Tabrani dan Ibnu Hibban.

Selamat Hari Raya Aidul Adha (Qurban)

Pengertian dan hukum Ibadah Qurban
Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

HUKUM MELAKUKAN IBADAH QURBAN

* Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

* Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.

* Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram.

* Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.

DALIL PENSYARIATAN & FADHILAT QURBAN

DALIL PENSYARIATAN

* Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 :

Maksudnya : "Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

* Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 :

Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".

* Sabda Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat Tirmidzi)

FADHILAT IBADAH QURBAN

Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban ini amat besar antaranya:

* Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan". (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

* Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah:

Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu". (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

* Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.

Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadis riwayat Thabrani)

* Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:

Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadith riwayat Tirmidzi)

* Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya: "Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".

HIKMAH, KEPADA SIAPA IBADAH KORBAN DISUNATKAN DAN SYARAT SAH KORBAN

HIKMAH BERQURBAN

* Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibarahim Alaihissalam yang sangup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam.

* Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yan melimpah-ruah.

* Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

KEPADA SIAPA IBADAH QURBAN DISUNATKAN

* Menurut Mazhab Syafie, ibadah disunatkan kepada mereka yang mempunyai harta yang melebihi keperluan darinya dan tanggungannya pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) termasuklah orang yang sedang mengerjakan haji.

* Manakala kanak-kanak tidak disunatkan melakukan ibadah qurban.

SYARAT SAH QURBAN

* Haiwan yang hendak diqurbankan itu hendaklah dalam keadaan sempurna tanpa ada kecacatan yang nyata tanpa ada kecacatan yan nyata dan mengurangkan daging atau memudaratkan kesihatan.

* Ianya dilakukan pada waktu yang dikhususkan untuk menjalankan ibadah qurban.

* Ibadah qurban hendaklah disertakan dengan niat.

JENIS & UMUR HAIWAN QURBAN

JENIS HAIWAN YANG BOLEH DIJADIKAN QURBAN

* Ulama' bersepakat bahawa binatang yang boleh dijadikan qurban hanyalah binatang yang diketegorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), kambing dan biri-biri sama ada jantan atau betina.

UMUR BINATANG QURBAN

1. Unta - berumur 5 tahun masuk ke 6 tahun.

2. Lembu/kerbau/kambing - 2 tahun masuk ke 3 tahun.

3. Biri-biri/kibas - Setahun masuk kedua atau sudah bersalin gigi hadapan walaupun belum cukup setahun tetapi melebihi 6 bulan.

KECACATAN YANG MENGHALANG SAHNYA QURBAN

* Hendaklah ia sejahtera daripada sebarang kecacatan seperti tiada telinga atau terpotong ekor, gila, kudun, sangat kurus, buta dan sebagainya.

* Ada 4 kecacatan utama yang telah disepakati oleh Ulama'yang menghalang sahnya qurban iaitu berdasarkan hadis riwayat Barra' bin Azib iaitu sabda Rasullah Sallahallahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya : "4 jenis kecacatan yang tidak harus diperbuat qurban iaitu buta sebelah mata, berpenyakit, tempang dan terlalu kurus".

* Daripada hadith di aras Ulama' telah mengqiaskan kepada kecacatan yang seumpamanya atau lebih teruk daripada kecacatan tersebut. Ia dapat diringkaskan seperti berikut:

1. Tiada atau terpotong telinga ataupun lidahnya walaupun sedikit begitu juga yang terpotong ekornya.
2. Gila
3. Berkudis walaupun sedikit.
4. Haiwan yang baru melahirkan anak atau yang bunting.
5. Tersangat kurus.
6. Buta sebelah mata atau kedua-duanya.
7. Berpenyakit
8. Tersangat tempang

* Tetapi, jika telah bernazar untuk qurban binatang yang sudah ada kecacatan tersebut, wajarlah dia melaksanakannya.

* Haiwan yang tiada ekor, tiada gigi atau patah setengah giginya, tiada zakar, haiwan yang dikasi zakarnya boleh dijadikan binatang qurban.

* Makruh mengorbankan haiwan yang tidak bertanduk atau patah tanduknya begitu juga haiwan yang terbelah atau bertebuk telinganya.

KEHARUSAN BERKONGSI HAIWAN QURBAN

* Seekor unta, lembu atau kerbau itu harus dikongsi oleh tujuh orang sama ada dari keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud qurban, misalnya ada antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja.

* Bagi seekor kambing atau biri-biri hanya cukup untuk seorang sahaja, tetapi harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor korban itu.

* Adalah afdhal dibuat korban bagi seorang dengan seekor unta, kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir. Kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri dan kemudian kambing.

* Berkorban dengan 7 ekor kambing itu lebih afdhal daripada seekor unta atau lembu kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tumpah ketika disembelih.

* Berqurban dengan seekor kambing itu pula lebih afdhal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang.

* Yang utamanya binatang qurban itu adalah berwarna putih, kemudian kuning, diikuti dengan warna putih tetapi tidak bersih putihnya, kemudian binatang yang sebahagian bulunya berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semua bulunya, diikuti dengan binatang qurban yang berwarna merah bulunya.

WAKTU PELAKSANAAN & SIAPA YANG MENYEMBELIH

WAKTU PELAKSANAAN IBADAH QURBAN

* Bermula daripada terbit matahari pada Hari Nahr (10 Zulhijjah)

* Waktu yang afdhal melakukannya ialah ketika matahari telah naik sekadar 7 kaki dari ufuk.

* Berkekalan waktu qurban ini sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.

ORANG YANG MENYEMBELIH BINATANG QURBAN

* Para ualama menganjurkan agar yang melakukan penyembelihan afalah orang yang berqurban itu sendiri, sekiranya dia pandai menyembelih. Tetapi mereka juga sependapat mengatakan harus mewakilkannya kepada orang lain. Afdhalnya wakil itu adalah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.

* Adalah afdhal orang yang tidak pandai menyembelih berwakil kepada orang lain untuk menyembelih bagi pihak dirinya dan sunat bagi orang yang berwakil itu hadir dan menyaksikan penyembelihan ke atas binatang qurban tersebut.

* Makruh hukumnya mewakilkan qurban kepada kanak-kanak atau orang buta.

NIAT IBADAH QURBAN DAN PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN

NIAT IBADAH QURBAN

* Tidak memadai jika seseorang itu hanya membeli binatang dengan niat hendak diqurbankan tanpa dilafazkan niat itu.
* Disyaratkan berniat ketika menyembelih binatang qurban jika dilakukan sendiri. Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korban berkenaan dengan disaksikan oleh orang yang berwakil tadi.
* Walaubagaimanapun adalah lebih baik orang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.
* Tidak disyaratkan niat jika melakukan qurban nazar.

HUKUM QURBAN BAGI PIHAK ORANG LAIN

1. Tidak sah menyembelih korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izinnya.
2. Begitu juga bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada wasiat atau pesanan daripadanya.
3. Apabila qurban itu dilakukan kerana wasiat simati maka wajib disedekahkan kesemuanya.

PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN

* Apabila menjelang 10 Zulhijjah, tidak digalakkan empunya qurban memotong rambut dan kukunya sehingga dia melaksanakan ibadah qurban.
* Semasa menyembelih binatang qurban disunatkan :
1. Membaca Bismillahirrohmanirrahim
2. Berselawat ke atas Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
3. Menghadapkan binatang itu ke arah kiblat di atas rusuk kirinya.
4. Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya.
5. Membaca doa : Maksudnya: "Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya."
* Sebaik-baiknya ibadah qurban ini dilaksanakan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.

NIAT IBADAH QURBAN DAN PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN

* Qurban Wajib dan Qurban Nazar :

Bagi daging korban kerana sembelihan wajib seperti nazar maka hukumnya Wajib disedekahkan kesemuanya. Haram ke atas orang yang berkorban itu memakan daging tersebut. Jika telah dimakan daging itu maka Wajib diganti kadar yang dimakan itu tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.

* Qurban Sunat :
Bagi daging korban sunat pula, adalah Sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Haj ayat 28:
Maksudnya : "….Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir. Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah (belum dimasak).

Adalah Afdhal jika yang empunya korban itu hanya mengambil sedikit daripada daging korban berkenaan manakala sebahagian besar daripadanya disedekahkan. Daging yang disedekahkan akan menjadi milik penerima sepenuhnya di mana dia boleh menjual, melelong atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain dan sebagainya.

* Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

* Haram menyedekah atau menghadiahkan daging korban kepada orang kafir walaupun sedikit.

* Tidak harus memindahkan daging qurban ke daerah lain sebagaimana dalam hukum zakat.

* Haram ke atas orang yang melaksanakan korban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada binatang korban itu sebagaimana sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam : Maksudnya:

"Siapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu maka tiada dikira korban baginya." (Hadis riwayat al-Hakim)

* Haram menjadikan kulit dan daging binatang korban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.

Monday, September 13, 2010

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Sempena hari baik,bulan baik ni warga KRT Seri Kemunting mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri Maaf Zahir Batin kepada semua yang beragama Islam di seluruh dunia,dan Malaysia tak lupa juga kepada kakitangan Jabatan dan Kementerian Perpaduan dan Integrasi Nasional,KRT-KRT seluruh semenanjung,Sabah dan Sarawak.
1.Biar Renggang di dunia fana.
2.Biar hina dimata manusia.
3.Biar semangat semakin tua.
4.Biar Harta semakin tiada.
5.Biar Akal semakin berusia.
6.Biar jauh kedudukan kita.
7.Biar Jurang pangkat kita.
8.Jangan tergadai silaturrahim antara kita.
9.Selamat Hari Raya aidil Fitri,Maaf zahir Bathin
10. Ikhlas Daripada KRT Seri Kemunting.

Tuesday, August 10, 2010

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

KRT Seri Kemunting mengucapkan Ramadhan al- Mubarak kepada semua KRT,selamat menjalankan Ibadah Puasa dengan sempurna dan tingkatkan amal ibadat kita di hari baik dan bulan baik ini,semuga Allah S.W.T. menerima segala amalan kita Amin...